Isu
keganasan bukanlah suatu fenomena baharu dalam masyarakat.
Maka,
fokus yang mewarnai topik perbincangan akan dihuraikan dengan lebih
terperinci. Antaranya ialah mengapakah pihak yang cuba menjajah
negara-negara tertentu tidak dianggap sebagai pengganas? Mengapakah
konflik terus berlaku sehingga mewujudkan peperangan? Mengapakah
negara-negara yang ‘berkenaan’ terus dipuja, disanjung dan
menjadi idola masyarakat global sebagai negara yang menyumbang kepada
pembentukan ‘New World Order’? Mengapakah rejim zionis Israel
tidak dilabel sebagai pelampau? Kesemua persoalan ini perlu dijawab
dan dibincang dengan fikiran terbuka serta kewarasan akal yang
mendalam agar yang tersimpul dapat dileraikan.
Dari sudut
perspektif sejarah, aspek yang selalu diketengahkan ialah sejarah
sering berulang. Dalam konteks ini, proses yang kita namakan sebagai
penguasaan dan pendominasian adalah merupakan kesinambungan daripada
proses imperialisme dan kolonialisme yang sekian lama telah berlaku
khususnya ke atas Negara Dunia Ketiga. Pada era abad kedua puluh ini,
sedar atau tidak, penguasaan dan pendominasian ini telah menjalani
pelbagai transformasi dan muncul dalam pelbagai bentuk yang lebih
strategik serta halus sifatnya. Seandainya dilihat melalui pandangan
kasar, kita mungkin beranggapan bahawa proses ‘pentamadunan’ yang
diusahakan pihak Barat adalah semuanya baik belaka. Negara-negara
Dunia Ketiga harus memandang serius akan isu ini agar tidak secara
sewenang-wenangnya membuka jalan untuk pihak lain menjajah semula.
Hak asasi manusia, kebebasan media, isu pengganas antarabangsa dan
ujian senjata nuklear seringkali menjadi hujah dangkal dan alasan
daif pihak yang tidak berwajib untuk masuk campur ke dalam urusan
sesebuah negara. Mengimbau kembali zaman kesultanan di Tanah Melayu,
keruntuhan institusi kerajaan kerana perebutan kuasa, hak keadilan
rakyat, kekacauan serta pemberontakan dan ketidakrelevenan sistem
pemerintahan menjadi cara untuk pihak penjajah menyelinap masuk lalu
bertindak sebagai ‘hero terakhir’. Sekiranya fenomena ini
terus-menerus berlaku, masyarakat di seluruh dunia akan terus
dibelenggu daripada mempunyai pemikiran dan jiwa yang merdeka.
Isu
keganasan antarabangsa kian hangat dibincangkan khususnya selepas
berlakunya peristiwa pengeboman ke atas bangunan berkembar Pusat
Dagangan Dunia (WTC) di Manhattan, New York pada 11 September 2001.
Mulai saat itu, isu keganasan tersebut dihubungkaitkan dengan Islam
semata-mata. Semua elemen yang berkaitan dengan Islam dianggap
negatif terutamanya di negara-negara Barat. Hal ini telah merubah
corak politik antarabangsa apabila gergasi politik dunia melancarkan
dasar agresif terhadap negara-negara dan pertubuhan Islam yang
dikaitkan dengan jenama pengganas untuk menghalalkan peperangan dan
tindakan pencerobohan. Sehubungan itu, teramatlah wajar untuk kita
mentakrif semula konsep ‘pengganas’ dan ‘keganasan’.
Mengaitkan Islam dengan label pengganas merupakan sesuatu yang tidak
adil. Kalau terus dibiar untuk pihak Barat mendefinisikan erti
pengganas dan keganasan, sudah pasti takrifan tersebut bersifat berat
sebelah. Apakah Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah
‘keusangan falsafah’ serta hilang ‘dacing keadilannya’? Atau
sudah berubah perwatakan seperti ‘pak turut’, bagaikan lembu
diikat hidungnya? Sebenarnya, aktiviti pengganas tidak hanya terhad
ke atas negara-negara Islam tetapi sejarah juga menunjukkan bahawa
fenomena tersebut pernah berlaku di Amerika Syarikat, Amerika Latin,
Asia Timur dan benua Eropah.
Dalam
menangani isu ini, masyarakat global seperti hilang punca dan
ketiadaan pemikiran yang waras untuk melihat semula dan merenung
punca-punca kemashalatan ini. Keintelektualan Amerika Syarikat yang
selama ini disanjungi oleh segenap dunia, sirna tiba-tiba. Mereka
bertindak di luar pemikiran rasional. Mereka terus mengaitkan
pertubuhan Al-Qaeda dan Taliban sebagai pihak yang bertanggungjawab
ke atas peristiwa 11 September 2001 tanpa menyelidiki dan membuat
penelitian terlebih dahulu. Amerika Syarikat yang seakan-akan fobia
mula bertindak dengan lebih agresif melalui pendekatan ketenteraan
sebagai alasan untuk melumpuhkan rangkaian pengganas di seluruh
dunia. Dengan tidak semena-mena, Afghanistan didakwa mempunyai
hubungan rapat dengan rangkaian al-Qaeda. Osama bin Laden hanyalah
alasan untuk menghalalkan tindakan pencerobohan oleh Amerika Syarikat
di Afghanistan. Segala janji yang dimeterai hanyalah bagaikan menanam
tebu di tepi bibir. Realitinya, kehidupan majoriti rakyatnya masih
dalam kedaifan dan kesengsaraan. Masyarakat dunia seperti buta mata
apabila mereka membiarkan pembinaan tembok keselamatan yang sedang
diusahakan oleh Israel. Secara terang-terangan, rejim Zionis membunuh
penduduk awam Palestin walaupun perjanjian damai telah
ditandatangani. Persoalan yang perlu diketengahkan ialah mengapakah
Amerika Syarikat yang menceroboh dan menjajah beberapa buah negara
seperti Iran, Iraq dan Sudan tidak dianggap sebagai pengganas
antarabangsa? Wajarlah pihak Barat khususnya Amerika Syarikat, tidak
boleh menyalahkan tindakan yang diambil oleh kumpulan-kumpulan jihad
untuk bertindak balas dengan dasar Israel. Terbaru, pembasmian etnik
minoriti di Rohingya yang mengorbankan ribuan nyawa seperti tidak
mendapat liputan daripada masyarakat dunia umumnya. Kemanakah
hilangnya kegagahan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang
dahulunya bertindak sebagai polis dunia.
Sebenarnya,
dasar kepimpinan Rumah Putih dan Pentagon yang bersifat agresif telah
menyebabkan kegiatan keganasan yang membarahi dunia global semakin
melarat. Setiap negara mempunyai kedaulatan dan maruah yang harus
dipertahankan. Tidak hairanlah jika rakyatnya berkewajiban untuk
mempertahankan kedaulatan tanah air walau dengan apa cara sekalipun.
Manusia bukanlah ‘haiwan robotik’ yang tidak mempunyai rasa dan
jiwa, maka, mereka bertindakbalas terhadap dasar yang dijalankan
akibat amarah yang semakin meluap terhadap Amerika Syarikat dan
sekutunya. Sejak kebelakangan ini, memang kita dapat menyaksikan
beberapa siri serangan yang mempunyai kaitan dengan sentimen
anti-Amerika Syarikat. Beberapa tunjuk perasaan telah diadakan untuk
menggambarkan perasaan anti-Amerika yang meluap-luap dalam kalangan
masyarakat Islam dan bukan Islam di seluruh dunia. Mereka berpendapat
bahawa kepimpinan Rumah Putih dan sekutunya yang sepatutnya
bertanggungjawab kerana memusnahkan keharmonian dan keamanan dunia
kerana tindakan gopoh yang dilakukan.
Satu
persoalan yang perlu dijawab ialah bilakah aktiviti keganasan
antarabangsa ini akan berakhir? Kegagalan mencari solusi kepada
permasalahan ini telah melahirkan rasa bimbang dalam kalangan
penduduk dunia. Namun, isu ini perlu ditangani dengan bijaksana dan
penuh diplomasi hasil sinergi daripada semua masyarakat dunia. Pihak
Barat yang terus-menerus memberi tekanan dan menindas pihak yang
lemah perlu menghentikan tindakan ganas mereka dengan segera. Mereka
perlu melakukan sedikit transformasi dengan melakukan tindakan yang
lebih diplomasi bersulamkan toleransi untuk menghadapi perkara ini.
Bertitik tolak daripada itu, golongan lemah tidak boleh pasrah dengan
takdir semata-mata, sebaliknya, mereka haruslah cuba bangkit daripada
sisa-sisa runtuhan keamanan dan kebahagiaan agar maruah yang tercalar
dapat ditebus semula. Adakah ini
permainan politik antarabangsa yang
adil dan saksama? Sekiranya pihak Barat yang melakukan pencerobohan
dan pembunuhan dianggap sebagai pejuang hak asasi kemanusiaan,
manakala negara yang ditindas dianggap sebagai negara pengganas
seandainya mereka memberikan respon. Mereka hanya bijak menyalahkan
orang lain, tetapi pada masa yang sama, mereka tidak berupaya untuk
menilai dan bermuhasabah diri mengapakah isu keganasan antarabangsa
sukar ditanggani. Bulat air kerana pembentung, bulat kata kerana
muafakat. Kepentingan mewujudkan kerjasama serantau dapat dilihat
sebagai sesuatu yang signifikan untuk menangani isu keganasan
antarabangsa. Sehubungan itu, negara-negara ASEAN telah bersetuju
untuk mengadakan hubungan yang lebih rapat untuk membanteras aktiviti
keganasan. Hal ini bagi memastikan agar kita lebih bersedia untuk
menghadapi sebarang kemungkinan.
Sebagai
menggulung segala yang telah diperkatakan, kita yakin dan percaya
bahawa keganasan antarabangsa bukanlah suatu fenomena yang muncul
tiba-tiba dan bersifat asing. Kajian menunjukkan bahawa kebanyakan
peristiwa yang berkaitan dengan keganasan merupakan suatu tindak
balas yang diambil, setelah tindakan berupa penindasan yang
berterusan dilakukan oleh sesebuah pihak. Juga, kepentingan politik
dan kuasa yang mengatasi segalanya telah merasionalkan sesuatu
perkara. Justeru, kedua-dua pihak akan bertindak balas terhadap
masing-masing untuk mendapatkan pengadilan. Bagi sesetengah pemimpin
dunia, mereka akan menunjukkan simpati dan akan mengeluarkan
pernyataaan bahawa mereka sekeras-kerasnya mengutuk sesuatu tindakan
untuk menonjolkan kewibawaan dan kepimpinan. Tidak kurang pula, ada
antara mereka seperti mati akal untuk memikirkan sebab peristiwa
keganasan itu boleh berlaku sehingga mereka menemui jalan buntu
penyelesaian kepada permasalahan yang terjadi. Aspek nilai kemanusian
perlu diketengahkan sebagai fokus pembentukan masyarakat antarabangsa
yang aman, makmur dan harmoni.
Menurut
Usman Awang, kalau ingin hidup merdeka, tiada tercapai hanya berkata,
ke muka maju sekata, maju kita, melempar jauh jiwa hamba.