Monday, 16 September 2013

Keganasan Antarabangsa: Bilakah Kesudahannya?

                 
 Mendepani cabaran alaf baharu, kita sering mengalami pelbagai anjakan tidak kira positif mahupun negatif sebagai bukti bahawa kita sentiasa melakukan pelbagai usaha untuk berubah menjadi lebih baik. Biar kita imbau kembali sejarah pembentukan tamadun Yunani dan Rom yang sentiasa melakukan pelbagai perubahan dalam sistem pemerintahan dan pentadbiran untuk memastikan kelangsungan kekuasaan tamadun. Namun, sejajar dengan arus peningkatan taraf kehidupan, perkara yang acap kali mengisi buletin minda masyarakat sarwajagat ialah isu keganasan antarabangsa yang sering menghabiskan tinta pena dan air liur para wartawan serta pejuang keadilan. Dalam keghairahan untuk meletakkan nama negara pada peta dunia, kemakmuran dari segi ekonomi tetapi muflis nilai keinsanan yang syumul membantutkan pembentukan masyarakat dunia yang sakinah dan negara utopia. Menyelusuri sejarah kebelakangan ini, keruntuhan Soviet Union dan perpecahan Eropah Timur sebagai sebuah kuasa paksi komunisme serta kebungkaman kepimpinan Asia Barat dan dunia Islam mulai tahun 1991, telah menobatkan Amerika Syarikat sama ada secara langsung atau tidak langsung, sebagai sebuah kuasa besar dunia yang tunggal. Berakhirnya perang dingin telah menandakan sejarah permusuhan dan keseimbangan kuasa antara dua kuasa besar telah tamat.
Isu keganasan bukanlah suatu fenomena baharu dalam masyarakat. 

                Maka, fokus yang mewarnai topik perbincangan akan dihuraikan dengan lebih terperinci. Antaranya ialah mengapakah pihak yang cuba menjajah negara-negara tertentu tidak dianggap sebagai pengganas? Mengapakah konflik terus berlaku sehingga mewujudkan peperangan? Mengapakah negara-negara yang ‘berkenaan’ terus dipuja, disanjung dan menjadi idola masyarakat global sebagai negara yang menyumbang kepada pembentukan ‘New World Order’? Mengapakah rejim zionis Israel tidak dilabel sebagai pelampau? Kesemua persoalan ini perlu dijawab dan dibincang dengan fikiran terbuka serta kewarasan akal yang mendalam agar yang tersimpul dapat dileraikan.


                     Dari sudut perspektif sejarah, aspek yang selalu diketengahkan ialah sejarah sering berulang. Dalam konteks ini, proses yang kita namakan sebagai penguasaan dan pendominasian adalah merupakan kesinambungan daripada proses imperialisme dan kolonialisme yang sekian lama telah berlaku khususnya ke atas Negara Dunia Ketiga. Pada era abad kedua puluh ini, sedar atau tidak, penguasaan dan pendominasian ini telah menjalani pelbagai transformasi dan muncul dalam pelbagai bentuk yang lebih strategik serta halus sifatnya. Seandainya dilihat melalui pandangan kasar, kita mungkin beranggapan bahawa proses ‘pentamadunan’ yang diusahakan pihak Barat adalah semuanya baik belaka. Negara-negara Dunia Ketiga harus memandang serius akan isu ini agar tidak secara sewenang-wenangnya membuka jalan untuk pihak lain menjajah semula. Hak asasi manusia, kebebasan media, isu pengganas antarabangsa dan ujian senjata nuklear seringkali menjadi hujah dangkal dan alasan daif pihak yang tidak berwajib untuk masuk campur ke dalam urusan sesebuah negara. Mengimbau kembali zaman kesultanan di Tanah Melayu, keruntuhan institusi kerajaan kerana perebutan kuasa, hak keadilan rakyat, kekacauan serta pemberontakan dan ketidakrelevenan sistem pemerintahan menjadi cara untuk pihak penjajah menyelinap masuk lalu bertindak sebagai ‘hero terakhir’. Sekiranya fenomena ini terus-menerus berlaku, masyarakat di seluruh dunia akan terus dibelenggu daripada mempunyai pemikiran dan jiwa yang merdeka.

                       Di negara-negara Barat, proses modenisasi dan cara hidup yang dipraktikkan sering didewa-dewakan sebagai sebuah pencapaian tamadun yang ulung. Indoktrinasi negatif ini telah membenam budaya hedonistik yang tidak berfaedah terhadap alam budaya Timur. Hakikatnya, mereka telah jauh meninggalkan kepercayaan beragama yang sebenar dalam kehidupan. Hal ini mencerminkan generasi yang rapuh dan tercabut daripada akar tradisinya. Pada masa ini, dunia global kelihatan menumpukan dan cuba menerapkan apa sahaja dasar yang diputuskan oleh kepimpinan Rumah Putih dan Pentagon yang semakin goyah nilai kemanusiaannya kerana emosi yang bermaharajalela natijah daripada peristiwa 11 September 2001. Memang semua pihak amat mengalu-alukan atas dasar keamanan, keharm
onian dan kemakmuran. Usaha ini juga dilihat sebagai suatu tuntutan dan keperluan untuk memenuhi cita-cita dan falsafah mewujudkan sebuah dunia yang aman. Namun begitu, semuanya hanyalah retorik semata-mata. Kita bukanlah anak kecil yang mudah untuk dipujuk dengan kata-kata! Pembentukan dunia yang diterajui oleh sebuah kuasa besar yang bersifat universal serta bercirikan kelebihan kuasa veto, membolehkan Amerika Syarikat dan sekutunya bertindak semberono tanpa sebarang kawalan dengan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di bawah naungannya. Manakala negara-negara yang tidak selari dengannya begitu mudah dilabelkan sebagai negara yang berpaksikan kejahatan yang menyokong keganasan.
                    
                  Isu keganasan antarabangsa kian hangat dibincangkan khususnya selepas berlakunya peristiwa pengeboman ke atas bangunan berkembar Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Manhattan, New York pada 11 September 2001. Mulai saat itu, isu keganasan tersebut dihubungkaitkan dengan Islam semata-mata. Semua elemen yang berkaitan dengan Islam dianggap negatif terutamanya di negara-negara Barat. Hal ini telah merubah corak politik antarabangsa apabila gergasi politik dunia melancarkan dasar agresif terhadap negara-negara dan pertubuhan Islam yang dikaitkan dengan jenama pengganas untuk menghalalkan peperangan dan tindakan pencerobohan. Sehubungan itu, teramatlah wajar untuk kita mentakrif semula konsep ‘pengganas’ dan ‘keganasan’. Mengaitkan Islam dengan label pengganas merupakan sesuatu yang tidak adil. Kalau terus dibiar untuk pihak Barat mendefinisikan erti pengganas dan keganasan, sudah pasti takrifan tersebut bersifat berat sebelah. Apakah Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah ‘keusangan falsafah’ serta hilang ‘dacing keadilannya’? Atau sudah berubah perwatakan seperti ‘pak turut’, bagaikan lembu diikat hidungnya? Sebenarnya, aktiviti pengganas tidak hanya terhad ke atas negara-negara Islam tetapi sejarah juga menunjukkan bahawa fenomena tersebut pernah berlaku di Amerika Syarikat, Amerika Latin, Asia Timur dan benua Eropah.

              Dalam menangani isu ini, masyarakat global seperti hilang punca dan ketiadaan pemikiran yang waras untuk melihat semula dan merenung punca-punca kemashalatan ini. Keintelektualan Amerika Syarikat yang selama ini disanjungi oleh segenap dunia, sirna tiba-tiba. Mereka bertindak di luar pemikiran rasional. Mereka terus mengaitkan pertubuhan Al-Qaeda dan Taliban sebagai pihak yang bertanggungjawab ke atas peristiwa 11 September 2001 tanpa menyelidiki dan membuat penelitian terlebih dahulu. Amerika Syarikat yang seakan-akan fobia mula bertindak dengan lebih agresif melalui pendekatan ketenteraan sebagai alasan untuk melumpuhkan rangkaian pengganas di seluruh dunia. Dengan tidak semena-mena, Afghanistan didakwa mempunyai hubungan rapat dengan rangkaian al-Qaeda. Osama bin Laden hanyalah alasan untuk menghalalkan tindakan pencerobohan oleh Amerika Syarikat di Afghanistan. Segala janji yang dimeterai hanyalah bagaikan menanam tebu di tepi bibir. Realitinya, kehidupan majoriti rakyatnya masih dalam kedaifan dan kesengsaraan. Masyarakat dunia seperti buta mata apabila mereka membiarkan pembinaan tembok keselamatan yang sedang diusahakan oleh Israel. Secara terang-terangan, rejim Zionis membunuh penduduk awam Palestin walaupun perjanjian damai telah ditandatangani. Persoalan yang perlu diketengahkan ialah mengapakah Amerika Syarikat yang menceroboh dan menjajah beberapa buah negara seperti Iran, Iraq dan Sudan tidak dianggap sebagai pengganas antarabangsa? Wajarlah pihak Barat khususnya Amerika Syarikat, tidak boleh menyalahkan tindakan yang diambil oleh kumpulan-kumpulan jihad untuk bertindak balas dengan dasar Israel. Terbaru, pembasmian etnik minoriti di Rohingya yang mengorbankan ribuan nyawa seperti tidak mendapat liputan daripada masyarakat dunia umumnya. Kemanakah hilangnya kegagahan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang dahulunya bertindak sebagai polis dunia.

                         Sebenarnya, dasar kepimpinan Rumah Putih dan Pentagon yang bersifat agresif telah menyebabkan kegiatan keganasan yang membarahi dunia global semakin melarat. Setiap negara mempunyai kedaulatan dan maruah yang harus dipertahankan. Tidak hairanlah jika rakyatnya berkewajiban untuk mempertahankan kedaulatan tanah air walau dengan apa cara sekalipun. Manusia bukanlah ‘haiwan robotik’ yang tidak mempunyai rasa dan jiwa, maka, mereka bertindakbalas terhadap dasar yang dijalankan akibat amarah yang semakin meluap terhadap Amerika Syarikat dan sekutunya. Sejak kebelakangan ini, memang kita dapat menyaksikan beberapa siri serangan yang mempunyai kaitan dengan sentimen anti-Amerika Syarikat. Beberapa tunjuk perasaan telah diadakan untuk menggambarkan perasaan anti-Amerika yang meluap-luap dalam kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam di seluruh dunia. Mereka berpendapat bahawa kepimpinan Rumah Putih dan sekutunya yang sepatutnya bertanggungjawab kerana memusnahkan keharmonian dan keamanan dunia kerana tindakan gopoh yang dilakukan.

                               Satu persoalan yang perlu dijawab ialah bilakah aktiviti keganasan antarabangsa ini akan berakhir? Kegagalan mencari solusi kepada permasalahan ini telah melahirkan rasa bimbang dalam kalangan penduduk dunia. Namun, isu ini perlu ditangani dengan bijaksana dan penuh diplomasi hasil sinergi daripada semua masyarakat dunia. Pihak Barat yang terus-menerus memberi tekanan dan menindas pihak yang lemah perlu menghentikan tindakan ganas mereka dengan segera. Mereka perlu melakukan sedikit transformasi dengan melakukan tindakan yang lebih diplomasi bersulamkan toleransi untuk menghadapi perkara ini. Bertitik tolak daripada itu, golongan lemah tidak boleh pasrah dengan takdir semata-mata, sebaliknya, mereka haruslah cuba bangkit daripada sisa-sisa runtuhan keamanan dan kebahagiaan agar maruah yang tercalar dapat ditebus semula. Adakah ini
permainan politik antarabangsa yang adil dan saksama? Sekiranya pihak Barat yang melakukan pencerobohan dan pembunuhan dianggap sebagai pejuang hak asasi kemanusiaan, manakala negara yang ditindas dianggap sebagai negara pengganas seandainya mereka memberikan respon. Mereka hanya bijak menyalahkan orang lain, tetapi pada masa yang sama, mereka tidak berupaya untuk menilai dan bermuhasabah diri mengapakah isu keganasan antarabangsa sukar ditanggani. Bulat air kerana pembentung, bulat kata kerana muafakat. Kepentingan mewujudkan kerjasama serantau dapat dilihat sebagai sesuatu yang signifikan untuk menangani isu keganasan antarabangsa. Sehubungan itu, negara-negara ASEAN telah bersetuju untuk mengadakan hubungan yang lebih rapat untuk membanteras aktiviti keganasan. Hal ini bagi memastikan agar kita lebih bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

                            Sebagai menggulung segala yang telah diperkatakan, kita yakin dan percaya bahawa keganasan antarabangsa bukanlah suatu fenomena yang muncul tiba-tiba dan bersifat asing. Kajian menunjukkan bahawa kebanyakan peristiwa yang berkaitan dengan keganasan merupakan suatu tindak balas yang diambil, setelah tindakan berupa penindasan yang berterusan dilakukan oleh sesebuah pihak. Juga, kepentingan politik dan kuasa yang mengatasi segalanya telah merasionalkan sesuatu perkara. Justeru, kedua-dua pihak akan bertindak balas terhadap masing-masing untuk mendapatkan pengadilan. Bagi sesetengah pemimpin dunia, mereka akan menunjukkan simpati dan akan mengeluarkan pernyataaan bahawa mereka sekeras-kerasnya mengutuk sesuatu tindakan untuk menonjolkan kewibawaan dan kepimpinan. Tidak kurang pula, ada antara mereka seperti mati akal untuk memikirkan sebab peristiwa keganasan itu boleh berlaku sehingga mereka menemui jalan buntu penyelesaian kepada permasalahan yang terjadi. Aspek nilai kemanusian perlu diketengahkan sebagai fokus pembentukan masyarakat antarabangsa yang aman, makmur dan harmoni.


                               Menurut Usman Awang, kalau ingin hidup merdeka, tiada tercapai hanya berkata, ke muka maju sekata, maju kita, melempar jauh jiwa hamba.  

No comments:

Post a Comment