Peribahasa
Peribahasa ialah susunan kata yang pendek dengan makna yang luas, mengandungi kebenaran, sedap didengar dan bijak perkataannya.
Peribahasa -tradisi merujuk kepada peribahasa yang digunakan dalam pertuturan sehari-harian atau secara bercetak sebelum tarikh kemerdekaan.
Peribahasa moden -merujuk kepada peribahasa yang dicipta selepas tarikh tersebut.
Peribahasa merupakan sabahagian daripada bahasa kiasan dalam budaya Melayu.
Keindahan peribahasa merupakan cara sesuatu peribahasa itu digunakan, yang membina minda. Tetapi pada masa ini, pelbagai peribahasa dicipta yang memaksa parapelajar menghafalkan seberapa banyak peribahasa seperti robot.
Peribahasa yang baru dicipta ini memberikan peluang kepada penerbit buku melariskan buku masing-masing dengan mengisi buku masing-masing dengan peribahasa moden yang janggal, dengan setiap penerbit menghasilkan peribahasa masing-masing.
Selain itu, peribahasa yang baru dicipta ini juga mendorong kepada merosakkan bahasa, kerana sesetengah daripadanya hanya dibuat secara serkap jarang tanpa sebarang penyeliaan oleh sebarang pihak.
Peribahasa
Bagai kacang direbus satu
-Melonjak-lonjak kegirangan kerana mendapat untung.
Bagai jelongak kerbau rampung
-Orang bodoh yang sombong, tiada sedar dirinya dibodohi orang. (Peribahasa lain yang sama makna: Hidung sudah rampung diatur orang). jelongak = selalu menengadah;rampung = rosak cuping hidungnya.
Bagai jawi terkurung siang
-Sangat gelisah kerana tidak bebas.
Bagai jawi makan, dimamah dulu baru ditelan
-Tiap-tiap perbuatan itu dirundingkan masak-masak sebelum dikerjakan.
Bagai jawi ditarik keluan
-Menurut dengan tidak membantah. keluan = tali yang dicucukkan pada hidung (lembu dan kerbau).
Bagai jempuk kesiangan hari
-termenung-menung.
Bagai inai dengan kuku
-Sangat karib (tentang orang bersahabat atau orang berkasih-kasihan). (Peribahasa lain yang sama makna: Bagai empedu lekat di hati).
Bagai ilak bercerai dengan benang
-Bercerai untuk selama-lamanya. ilak = ukuran untuk menentukan lebar kain yang akan ditenun.
Bagai air titik ke batu
-Memberi nasihat dan ajaran yang sia-sia. (Peribahasa lain yang sama makna: Air di daun keladi [= talas]).
Bagai ikan lampam di ulak jamban
-Anak-anak yang subur tubuhnya, lekas besar dan tinggi; orang-orang yang mengutip hasil daripada pekerjan pekerjaan maksiat. (Peribahasa lain yang sama makna: Merayap-rayap seperti kangkung di ulak jamban).
Bagai haruan di dalam tuar
-Tidak tetap keadaannya, kerana sakit atau susah. tuar = lukah.
Bagai harimau beranak muda
-Orang perempuan yang terlalu bengis.
Bagai hantu makan dedak
-Bersungut-sungut dengan tiada tentu sebabnya.
Bagai gulai lengkitang
-Hendak menghilangkan kejahatan dirinya, tetapi kebaikan yang ada padanya pun lenyap pula. lengkitang = siput.
Bagai getah dibawa ke semak
-Perkara yang semakin kusut dan susah menyelesaikannya.
Bagai gembala diberi keris
-Pemberian yang tidak berfaedah.
Bagai geluk tinggal di air
-Orang yang melarat hanya mengharap bantuan orang. geluk = timba daripada tempurung kelapa.
Bagai gelombang dua belas
-Kehebatan langkah seseorang pendekar.
* Laman ini akan di sentiasa dikemaskini dari semasa ke semasa. Terima kasih.
Follow @FarisSuhaili
No comments:
Post a Comment